Aduhai SRM....

SRM tewas tipis kepada Fire&Phlamze..

Final MMU World Cup Tournament 2010 berakhir semalam dengan kemenangan 2-1 Fire&Phlamze ke atas SRM FC. Sorakan dan tempikan lebih 73 000 orang penyokong daripada kedua-dua pasukan menggegarkan Stadium MMU. Cuaca pada petang tersebut yang agak panas dan keadaan padang yang kering dan berbatu seperti petanda awal bahawa SRM bakal tumpas di tangan F&P.

F&P akhirnya menunjukkan pemain kesebelasan utama mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan warganegara. Mereka mengimport beberapa pemain daripada benua Africa dan Arab Saudi. SRM pula seperti biasa membariskan pemain hingusan yang kerdil-kerdil belaka. Perlawanan ini bolehlah diibaratkan sebagai 'bapak-bapak 1 Malaysia' vs 'kanak-kanak riang Ribena'.

Perlawanan diadili oleh bekas pengadil EPL suatu ketika dahulu iaitu En. Shamsuri Maarof manakala Suhaimi Saad dan Jalaini Kamaruddin dipertanggungjawabkan sebagai penjaga garisan. Perlawanan bermula dengan agak rancak di mana F&P melakukan serangan awal namun gagal menemui sebarang gol. Selang empat minit selepas perlawanan bermula, F&P akhirnya berjaya membolosi gawang SRM menerusi pemain tengah veteran mereka, Mid melalui sepakan percuma dari sebelah kiri padang.Beliau dengan tenang melambungkan bola melepasi benteng SRM dan menewaskan penjaga gol Shawn.

SRM agak terkejut namun mereka bangkit dan berjaya menemui gol penyamaan hasil gerakan 'satu-dua' Usham dan Nisham lima minit sebelum separuh masa pertama tamat. Usham memperdayakan dua pemain F&P sebelum melorongkan bola kepada Nisham yang tidak diawasi pemain lawan. Lorongan cantik tersebut memberikan Nisham ruang untuk menolak bola menewaskan penjaga gawang F&P, Bobot. Penonton bersorak apabila Nisham membuka jersi dan memperlihatkan baju dalam beliau yang tertulis 'Hepi Bday Luqman' yang sememangnya ditujukan kepada mantan kapten, Luqman yang baru sahaja menyambut harijadi ke-20 beliau.

Separuh masa pertama tamat dengan kedua pasukan terikat 1-1. Kenneth, kapten inspirasi SRM memberikan arahan dan motivasi kepada anak-anak buah beliau melalui pelukan dan ciuman kasih sayang, sama seperti apa yang dilakukan oleh Maradona pada World Cup yang lepas. Kontroversi tercetus apabila tiba giliran Kamarul untuk dipeluk dan dicium Kenneth. Melalui kamera yang difokuskan kepada kamarul, penonton dapat melihat Kamarul 'blushing' sejurus selepas diberikan kasih sayang oleh Kapten Kenneth.

Separuh masa kedua bermula dengan pasukan F&P diberikan sepak mula. Perlawanan dikuasai sepenuhnya oleh F&P yang melancarkan serangan bertubi-tubi memaksa pasukan pertahanan SRM bertungkus-lumus menyelamatkan keadaan. Namun, pemain import dari Africa F&P, Pytah menjaringkan gol kemenangan untuk pasukannya setelah berlaku sedikit salah faham di antara pertahanan dan penjaga gol SRM. Gol tersebut dilihat meruntuhkan semangat SRM. Usham dan Nisham pula masing-masing bersaing 'mencuri ayam' apabila mereka berdua sering ditangkap ofsaid oleh penjaga garisan yang baik hati.

Perlawanan tamat dengan airmata kekalahan berpihak kepada pasukan SRM FC. Cuba lagi SRM FC!!

No comments: