Analisis Pemain-Pemain SRM


Penulis menganalisis kesemua pemain SRM FC setelah mengharungi 5 perlawanan di mana SRM mencatat 3 kemenangan dan 2 kekalahan.

Wan Nasrul: Sepatutnya menjadi contoh kepada para pemain SRM FC. Komitmen beliau terhadap pasukan sangat tinggi. Beliau sanggup turun pada setiap perlawanan SRM dan menguruskan hal-hal luar padang bersama penganjur. Sentiasa memberikan sokongan moral 100%. Memberikan rawatan kepada mereka yang tercedera dan kata-kata semangat yang sangat 'menyemangatkan'(hahaha). terima kasih manager. =)

Shawn: Memulakan musim pertama beliau bersama SRM dengan persembahan yang agak goyah. Namun, berjaya membina keyakinan diri dan menunjukkan peningkatan yang sangat ketara perlawanan demi perlawanan. Kini, beliau semakin tenang, bijak membuat keputusan dan mempunyai refleks yang lebih tangkas. Persembahan terbaik beliau adalah ketika SRM menang menentang Victory FC 1-0.

Zumi: Penjaga gol kedua SRM FC. Bermain hanya 1 perlawanan buat pasukan iaitu ketika berkunjung ke Seryes FC. Selepas itu, beliau gagal dihubungi sehinggalah sekarang. Ada sesiapa tahu di mana beliau sekarang?

Meegan: Kembali bermain bersama SRM FC setelah melakukan pengkhianatan mengejut musim lepas. Prestasi beliau seperti roller coaster, kadang-kadang naik, kadang-kadang turun. Berani dan keras dalam setiap terjahan beliau, Meegan semakin matang mengisi posisi bek kanan. Musim ini beliau berjaya mengurangkan kekasaran dan dilihat lebih selesa menerapkan stail permainan yang bersahaja. Namun, bantuan serangan daripada beliau tidak boleh diperkecilkan. Semasa menentang Victory FC, pemain lawan buntu untuk melepasi kekentalan beliau.

Faris: Tidak boleh disangkal lagi, gandingan terbaik beliau dan Shauqie merupakan antara faktor kemantapan pertahanan SRM FC. Gagah di udara, keras dalam setiap terjahan dan bijak membaca pergerakan pihak lawan, Faris mempunyai pakej seorang pemain pertahanan tengah yang sejati. Oh ya, masih ingat aksi hero beliau semasa menerima kunjungan pasukan Cyberheat? Jikalau lupa, suka saya mengingatkan bahawa beliau bermain sebagai penjaga gol kecemasan di mana tampanan kelas dunia yang dilakukan beliau pada saat-saat akhir perlawanan menafikan mata untuk pasukan lawan sekaligus memberikan kemenangan bersejarah buat SRM FC.

Shauqie: Kebal, bijak, mantap dan berkomitmen tinggi. Gol pertama beliau sepanjang bergelar pemain bola sepak hadir tanpa diduga ketika menentang Cyberheat. Larian padu dari beliau ditambah pula dengan lorongan cantik dari Kamarul, mengejutkan pemain lawan apabila dengan tenangnya, beliau melepasi seorang pemain pertahanan lawan, memperdayakan penjaga gol, seterusnya menyumbat gol emas kemenangan buat SRM FC! Aset yang sangat berharga buat pasukan.

Aziwan: Kembali ke musim-musim sebelum ini, siapakah Aziwan? Bermain sangat kasar, acapkali melakukan terjahan yang sia-sia, sering kesemputan dan selalu menjadi sasaran untuk pemain lawan melancarkan serangan. Namun itu cerita lama. Tahun 2010 merupakan tahun kebangkitan beliau. Daripada seorang pemanas bangku simpanan kepada seorang pemain bek kiri utama, Aziwan membuktikan bahawa beliau mempunyai potensi besar yang selama ini dipendam sahaja. Beliau kini bijak melakukan kawalan, terjahan semakin tepat dan kemas, stamina yang tinggi dan sering mengecewakan pemain lawan yang selama ini membuli beliau. Persembahan terbaik beliau adalah ketika menentang Cyberheat. Tuan-tuan dan puan-puan, Jiwan Bieber kini sudah AKIL BALIGH! Tahniah!

Haziq: Pemain baru SRM FC ini mempunyai bakat yang besar sebagai seorang bek. Boleh bermain sama ada di posisi kiri atau pun kanan padang, beliau merupakan ancaman terbesar buat Meegan dan Aziwan. Jangan diambil mudah kebolehan beliau hanya kerana saiz badannya yang agak kecil. Semangat dan kekentalan Haziq mengejar bola perlu dicontohi. Keberanian yang ditunjukkan beliau juga sangat mengagumkan. Melayu, India, Cina, Pak Arab malahan Awang Hitam, semuanya beliau bantai tanpa rasa takut. Sebagai tambahan, beliau juga berpotensi besar untuk dievolusikan sebagai pemain sayap.

Amir Hamzah: Jarang turun bermain bersama SRM FC musim ini kerana khabarnya beliau kini mempunyai komited terhadap kerjaya. Pemain kidal semulajadi ini mempunyai tahap ketampanan yang sering menjadi 'kejelesan' pemain SRM yang lain. Posisi beliau kini diambil alih Aziwan dan tarikh beliau kembali bermain untuk SRM FC tidak dapat dipastikan, bergantung kepada jadual beliau. Good luck bro!

Haniff: Musim ini beliau seperti kehilangan taring berbanding musim-musim sebelum ini. Hantaran silang maut 'trademark' beliau dan larian laju menembusi pertahan lawan kini kian pudar. Jika dulu, Haniff merupakan antara 'supplier' bantuan gol untuk rakan-rakan beliau tetapi kini prestasi beliau merundum jatuh. Khabar angain menyatakan bahawa beliau sedang dilamun cinta dan jarang turun latihan kerana sibuk menghabiskan masa berasmaradana bersama bunga beliau. Namun, persembahan terakhir beliau semasa SRM menentang Victory kembali memberikan harapan buat peminat. Beliau kembali dengan hantaran silang maut dan larian kencang dari tepi padang. Paling diingati, 'drill cross' beliau yang sangatlah sempurna namun sayangnya, rakan penyerang beliau mensia-siakan peluang tersebut. Selamat kembali Haniff.

Usamah: Pemain tinggi lampai ini matang dalam permainan beliau. Beliau bijak membuka ruang, mencari peluang dan melakukan lorongan kepada rakan sepasukan yang lain. Walaupun masih mencari gol pertama untuk SRM FC, beliau sentiasa berusaha keras untuk membuka peluang agar gol dapat dihasilkan. Beliau juga merupakan pemain SRM FC yang paling pandai melengah-lengahkan serangan pasukan lawan sekaligus memberi masa untuk rakan sepasukan yang lain menutup ruang dan bersiap-sedia melancarkan serangan kilat.

Kenneth: Kapten kental SRM FC. Beliau bertungkus-lumus merancang strategi buat pasukan. Sering menjadi penaik semangat rakan sepasukan tatkala bermain dalam keadaan tertekan. Bertindak sebagai pelindung kepada barisan pertahanan, Kenneth tidak pernah mengecewakan peminat, sering meng'kamikaze'kan diri beliau demi mematahkan serangan lawan. Sikap beliau yang sangat menitikberatkan etika disiplin menjadi faktor utama SRM FC menjadi pasukan yang paling sedikit dilayangkan sebarang kad. Diharapkan beliau kekal menerajui SRM FC selepas ini. Good job Kenneth.

Luqman: Arkitek SRM FC. Menjadi fulkrum buat rakan sepasukan beliau sama ada ketika menyerang atau pun bertahan. Visi hantaran dan lorongan beliau sangat mengagumkan. Mengikut statistik, peratusan kejayaan hantaran dan lorongan beliau adalah 90% namun beliau tuah seringkali mengkhianati beliau ketika beliau melakukan cubaan terus ke gawang lawan. Jikalau bukan tersasar sedikit, tembakan beliau selalunya berjaya ditepis penjaga gol lawan. Fakta menarik; beliau merupakan pakar tendangan sudut namun kurang 'umphhh' dalam bab tendangan penalti. Mendapat jolokan 'Xavi Sokmo', Luqman memainkan peranan yang paling penting dalam keluarga bola sepak SRM FC. Persembahan baik beliau sentiasa 'maintain' dan tidak pernah menghampakan.

Kamarul: Meskipun memiliki gaya dan perwatakan gadis Melayu tipikal, kebolehan beliau tidak boleh dipandang rendah. Pandai mencari ruang dan menggoda pihak lawan, Kamarul menutup kalendar 2010 dengan penuh bergaya di mana beliau menjaringkan gol tunggal perlawanan semasa pertembungan dengan Victory FC sekaligus menghadiahkan 3 mata penuh buat SRM FC. Bermain di posisi sayap kiri, beliau menunjukkan persefahaman yang tinggi bersama Aziwan. I love you Kamarul.

Sany: Pemain kedua direkrut SRM pada musim ini. Mampu bermain sebagai pemain sayap kiri dan kanan, Sany merupakan pesaing sihat bagi Usamah, Haniff dan Kamarul. Beliau jarang mendapat peluang untuk melakukan cubaan gol dan seringkali tewas dalam pertarungan fizikal. Perlu membina otot-otot agar tidak mudah dibuli pemain lawan. Beliau juga seharusnya meningkatkan lagi mutu hantaran dan tahap stamina beliau dan perlu lebih yakin memegang bola. Ramai tidak mengetahui bahawa beliau merupakan seorang 'star' dalam dunia futsal. Sekiranya beliau berjaya mengaplikasikan pengetahuan genius beliau tentang futsal ke dalam bola sepak, nescaya beliau mampu menjadi antara pemain terbaik MMU.

Ammar: Romeo SRM. Ammar adalah player yang paling pandai berkata-kata manis yang tentunya mencairkan hati perempuan. Pakar dalam hal percintaan dan kasih sayang sesama manusia. Berbalik kepada bola sepak, beliau bermain sebagai penyerang sokongan di belakang Nisham. Beliau berkongsi posisi bersama Shahrom dan kadang kala mengisi posisi pemain tengah berganding di sisi Luqman. Kelebihan beliau adalah cubaan jarak jauh yang tepat dan hantaran 'through' membelah pertahanan lawan. Namun beliau harus cepat membuat keputusan dan menghantar bola kepada rakan yang lain agar serangan tidak terbantut begitu sahaja. Menunjukkan peningkatan dari segi kerajinan di mana kebanyakan pihak memuji tahap kesungguhan beliau mengejar bola pada musim ini. Tahniah Ammar!

Shahrom: The Flying Sabahan. Menyumbangkan 4 gol buat SRM FC setakat ini. Gol beliau yang paling dibanggakan adalah tandukan curi menentang Black Emperor. Gerakan lincah beliau sering memperdayakan pemain lawan. Manakala kelajuan dan kawalan bola beliau yang sangat bagus pula mendatangkan migrain kepada pertahanan lawan. Walaupun begitu, beliau sering kalah semasa 'body challenge' disebabkan saiz badan belliau yang kecil dan kurus.(hahaha). Tetapi pada musim ini, beliau juga menunjukkan peningkatan yang ketara. Beliau kini sangat bersungguh-sungguh dan tidak mudah mengaku kalah mendapatkan bola walaupun dibentes keras.

Nisham: Penyerang tunggal SRM FC. Ketinggian beliau menjadi senjata utama pasukan dalam merebut bola di udara. Walaupun telah menyumbat 4 gol dalam liga, beliau sering mensia-siakan peluang di depan mata. Perlu memperbaiki kualiti 'finishing', kawalan bola dan hantaran beliau. Beliau juga dilihat gagal menangani tekanan dengan bijak di mana beliau cenderung 'down-moral' ketika pasukan beliau ketinggalan gol. Perlu menghargai setiap peluang gol yang tiba kerana semua peluang itu terhasil daripada susah- payah, perit jerih rakan sepasukan yang lain. Similar to Chamakh.=p

Artikel ini bukan bertujuan untuk membodek atau pun merendah-rendahkan sesiapa pun. Tetapi lebih kepada pendorong dan galakan untuk kita maju bersama.

Majulah SRM FC untuk MMU.

No comments: