Minggu ini MMU Premier League digemparkan dengan insiden pergaduhan teruk semasa pertembungan klasik di antara Black Emperor dan Victory FC.
Entri ini bukannya bertujuan untuk mengulas atau pun menobatkan pemenang sejati pergaduhan tersebut sebaliknya sebagai peringatan kepada para pejuang SRM supaya mengelakkan apa jua sebarang bentuk provokasi yang boleh menimbulkan perbalahan.
Jika sekadar bertegang urat atau pun bermasam muka ketika permainan berlangsung, itu tidak mengapa kerana sememangnya lumrah di dalam dunia bola sepak. Tetapi tinggalkan semua itu di dalam padang. Jangan dibawa keluar.
Kau tidak semestinya layak digelar pemain bola sepak sepak sebenar jikalau hanya bersandarkan alasan yang kau penyokong sejati Manchester United.
Kau juga tidak semestinya layak digelar pemain bola sepak sebenar jikalau kau hebat menendang bola, menjaringkan banyak gol atau pun memiliki skil-skil mengagumkan.
Kau sekali lagi tidak semestinya layak digelar pemain bola sebenar seandainya kau mempunyai koleksi-koleksi jersi, key chain, kasut bola, boxer bola dan sebagainya daripada pasukan-pasukan ternama dunia di seluruh pelusuk dunia.
Akhir sekali, kau tidak semestinya layak digelar pemain bola sepak sebenar walaupun kau mendabik dada tidak pernah ketinggalan menyaksikan Piala Dunia, Europe Championship, Liga Perdana Barclays dan macam-macam liga lagi.(tidak termasuk Liga Malaysia.)
Kau sememangnya pemain bola sepak sejati apabila:
1) Kau sentiasa mengutamakan semangat berpasukan, bermain sebagai 1 kepala, 1 hati, 1 Malaysia.
2) Kau sentiasa menghulurkan tangan membantu lawan yang tersungkur jatuh kau kasari sambil meminta maaf dengan ikhlas.(Jangan senyum!)
3) Tatkala kau bertengkar kecil, sama ada sesama rakan sepasukan, pihak lawan dan pengadil tidak ketinggalan, kau meninggalkan perselisihan faham tersebut di dalam padang, tidak berdendam membawanya keluar.
4) Ketika kau menjaringkan gol, kau meraihkannya bersama-sama rakan sepasukan yang lain, berpeluk terima kasih, dan sekiranya terdapat penyokong menonton, kau senyum lebar menghargai kehadiran mereka.
5) Ketika pasukan kau dibolosi, kau tidak marah membabi buta menyalahkan rakan-rakan yang lain sebaliknya menepuk bahu mereka dan berkata 'Rilekla, pemain dunia pun kalau main Liga MMU, konpem nervous.".
6) Manusia tidak lari daripada kesalahan. Jika kau terlanjur bersalah, kau terlebih dahulu terang-terang mengakuinya sebagai anak jantan.
7) Kau mungkin mempertikaikan keputusan pengadil tetapi kau tetap menghormati mereka. Sebagai pemain, kau berhak mendapatkan penjelasan daripada mereka dan kau tahu keputusan mereka mesti kau turuti. Ingat, mereka juga manusia.
8) Kau menerima teguran daripada rakan-rakan ataupun pengadil dengan baik walaupun hati muda kau memberontak ingin menurut kemahuan dan nafsu sendiri.
9) Kau menghormati rakan-rakan seperjuangan terutamanya kapten kau, pihak lawan dan barisan pengadil perlawanan lebih daripada diri kau sendiri.
10) Selepas tamat perlawanan, kau akan bersalam-salaman dengan pasukan lawan, meminta maaf jika perlu dan sentiasa memberikan senyuman lebar di kala menang atau pun tewas. Kau juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada pengadil kerana sanggup datang mengadili perlawanan.
Hakikatnya, 10 perkara di atas sebenarnya bukan ukuran ataupun sukatan untuk menjadi pemain bola sepak. Banyak lagi benda yang boleh diterima akal yang kau sebenarnya boleh fikir sendiri.
10 perkara di atas sebenarnya merupakan antara perkara yang aku gagal lakukan sebagai pemain bola sepak. Oleh itu, jutaan minta maaf daripada aku.
Majulah SRM untuk MMU.
No comments:
Post a Comment