Player Rating - SRM Fc 1-0 Cyberheat

MAN OF THE MATCH: FARIS 'THE BEAUTY BEAST' NASRUDIN

Nasrul: 8 - Pengurus SRM ini pastinya berkeringat jagung tidak senang duduk melihat anak-anak buah beliau berhempas-pulas menahan asakan bertali arus daripada Cyberheat. Walaupun begitu, Nasrul sentiasa memberikan kata-kata semangat buat squad kendalian beliau supaya terus berjuang memburu kemenangan. Sememangnya beliau layak digelar 'The Special Wan'. Menyumbangkan tenaga membawa lebih sepuluh botol Gatorade pelbagai perisa yang ditaja Cik Rasya. Terima kasih. =)

Shawn: 7.5 - Shawn membayar kepercayaan rakan-rakan beliau dengan memberikan persembahan yang sungguh cemerlang. Meskipun diuji bertalu-talu, beliau tetap tenang menampan segala percubaan pemain lawan. Wajar diberikan pujian tinggi di atas sumbangan beliau mengatur dan mempertahankan gawang pasukan. Perlu mengekalkan prestasi beliau sehingga ke akhir musim!

Haziq: 7 - Kecil-kecil cili padi taik burung, Haziq tidak gentar berhadapan pemain lawan yang 3 kali ganda lebih besar daripada beliau. Walaupun pendiam, Haziq berkomunikasi baik dengan pemain pertahanan yang lain. Dikeluarkan pada pertengahan permainan tanpa sebab yang diketahui. Ternyata mutu permainan beliau semakin matang perlawanan demi perlawanan. Tahniah!

Faris: 8 - Antara faktor pertahanan mantap SRM, Faris sekali lagi menunjukkan permainan yang penuh berkualiti. Berhadapan dengan pemain yang lebih besar daripada beliau, Faris tidak mengalah dalam setiap perebutan bola. Dominan di udara, beliau seringkali menghampakan hantaran tinggi pemain lawan, menanduk bola keluar dari zon berbahaya. Mempunyai satu peluang untuk menjaringkan gol semasa sepakan sudut SRM, namun nasib tidak menyebelahi 'Beauty Beast' apabila tandukan padu beliau tepat menuju ke tangan penjaga gol lawan.

Shauqie: 8 - Beliau membentuk persefahaman yang tinggi dengan Faris. Beliau berhempas-pulas mengejar bola lorongan berbahaya pihak lawan dan mengawal ketat pergerakan pemain Cyberheat terutamanya ketika sepakan sudut dan sepakan percuma. Sama seperti Faris, 'The Ongbak of Malaya' acapkali memenangi bola di udara. Memiliki kelebihan sepakan yang kuat, beliau juga sering membantu melancarkan serangan kilat. Aset berharga buat SRM FC!

Aziwan: 7.5 - Aziwan dilihat kerap meninggalkan posisi beliau menyebabkan pemain lawan mempunyai ruang dan peluang untuk melancarkan serangan. Namun, beliau tetap cekap membentes bola serangan pemain Cyberheat. Sedikit malang buat beliau apabila terpaksa berhadapan dengan beberapa pemain berkelas tinggi Cyberheat yang sentiasa melakukan taktik gerakan mengelirukan. Situasi ini sebenarnya penting sebagai pengalaman buat beliau. Keseluruhannya, El Bieber beraksi baik dan peningkatan beliau pada musim ini sangatlah ketara. Kekalkan!

Kenneth: 7.5 - Perisai jitu kepada barisan pertahanan SRM FC. Kesungguhan dan kecekalan beliau amat-amat mengagumkan. Mendapat nama jolokan 'The Chipmunk Golden Voice' kerana kecomelan suara beliau di dalam padang, Kenneth memimpin rakan-rakan beliau dengan sungguh baik. Pujian tinggi seharusnya diberikan kepada Kenneth di atas kesanggupan beliau melontarkan diri menahan setiap percubaan berbahaya lawan. Meskipun sering tersungkur dikasari, Kenneth sentiasa bangkit semula melindungi kawasan beliau. Contoh tauladan yang baik.


Luqman: 7.5 - Anak jati Terengganu ini merupakan nadi, jantung, peparu dan medula oblongata buat squad SRM FC. Sesuai dengan gelaran 'La Phenomenon Architecto', beliau menjadi perancang dan penggerak bahagian serangan pasukan. Kawalan bola dan sentuhan yang kemas adalah resepi visi beliau. Malangnya, Luqman sering dikecewakan oleh barisan serangan yang sering kali mensia-siakan peluang ciptaan beliau. Sekiranya SRM mempunyai seorang lagi pemain tengah bantuan, Luqman berpeluang cerah mengulangi kualiti permainan fenomena beliau seperti dua tahun yang lalu bersama Dettol FC.

Haniff: 6.5 - Bermain dalam keadaan kurang sihat ternyata membawa kesan besar terhadap persembahan beliau. Masalah demam mengejut dilihat sungguh ketara membataskan larian beliau. Semangat untuk tetap bermain walaupun kurang sihat membuktikan kesungguhan beliau dan inilah 'spirit' yang seharusnya dimiliki oleh setiap pemain bola sepak. 'Mini Fellaini'(lihat stail rambut beliau) digantikan oleh Meegan pada separuh masa kedua kerana kehabisan oksigen.

Kamarul: 7 - 'The
Sexy Incredible Pikachu' memainkan peranan penting dalam kemenangan SRM kali ini. Bola tendangan beliau terkena tangan pemain Cyberheat menyebabkan SRM diberikan sepakan penalti. Bukan sahaja bertindak sebagai simbol keseksian kemegahan SRM FC, Kamarul merupakan pemain squad yang paling banyak memenangi 'foul'. Beliau semakin pandai bertarung fizikal ketika di katil di padang. Hantaran lintang beliau juga semakin bermutu tinggi hari demi hari. Syabas Pikachu!

Shahrom: 7 - Shahrom agak tenggelam pada perlawanan kali ini. Kelajuan dimiliki beliau menyebabkan beliau sering dijadikan sasaran kekasaran. Pihak lawan seperti mengetahui yang mereka perlu mematikan pergerakan beliau kerana jika Shahrom diberi ruang dan masa untuk bergerak bebas, mereka seperti menempah kekalahan. Digelar 'El Zapatos de Locura', Shahrom sentiasa berusaha mencari ruang namun kudrat dan tenaga pemain Cyberheat mengatasi kesungguhan beliau.

Nisham: 6.5 - Sekali lagi, beliau mempamerkan prestasi permainan yang sedikit mengecewakan. Sentuhan pertama dan kawalan bola yang kurang baik, ditambah lagi dengan kemalasan beliau mengejar bola, mencacatkan mutu persembahan beliau kali ini. Walaupun menjaringkan gol tunggal perlawanan, 'Die Chamakh Nachahmer' dilihat perlu mempertingkatkan mutu dan kualiti beliau agar tidak mengecewakan rakan-rakan yang lain. Kecenderungan untuk menekan moral pemain lain juga merupakan kelemahan terbesar beliau. Anstieg junge steigen!!

Subtitutions.


Meegan: 7 - Masuk menggantikan Haniff ketika separuh masa pertama. Memberi ekstra pelindung kepada benteng pertahanan, Meegan mengawal dan mengawasi setiap pergerakan lawan meskipun kadang kala beliau berjaya dilepasi dengn mudah. Berhadapan situasi yang sama dengan Aziwan, beliau terpaksa bekerja keras membentes pemain sayap Cyberheat yang sungguh licik ala-ala Messi. Beliau juga melegakan penonton kerana sering mengeluarkan bola dari kotak penalti pada saat-saat mencemaskan. 'The Next Sivaji' dilihat semakin hampir mencapai potensi sebenar beliau. Keep it up!

Sany: 7 - Beliau menggantikan Haziq juga pada pertengahan separuh masa kedua. Kali ini beliau dilihat tertekan dengan begitu ketara ekoran desakan yang agak keras dari Nisham. Sememangnya tidak mampu menandingi fizikal pemain warganegara UAE dan benua Africa, Sany mengambil jalan selamat dengan menendang bola jauh dari zon kotak penalti. 'Bel Ragazzo' perlu bekerja lebih keras lagi. Tutti i migliori!


Entri ini bukan bertujuan untuk membodek atau pun mengampu sesiapa. Mereka yang beraksi bermati-matian demi untuk menang wajib diberikan pujian. Setiap komen adalah berdasarkan pemerhatian penulis memandangkan penulis kurang bergerak di atas padang sekaligus memberi peluang untuk penulis memerhatikan gaya permainan setiap pemain SRM. No hard feelings okay guys?

Majulah SRM FC untuk MMU.

No comments: